Filem FENOMENA (1990)



Image result for film fenomena
Fenomena (1990)
 arahan Aziz M. Osman
                    
 Disebabkan aku merupakan seorang bekas pelajar daripada Fakulti Filem, Teater dan Animasi, aku teringat dahulu kami sering didedahkan dengan pelbagai tontonan filem. Oleh kerana hal ini jugak aku mencitai dunia perfileman disamping teater. Harini aku terdetik untuk berkongsi sebuah filem yang pernah aku tonton dahulu. Filem yang aku pilih adalah filem yang bertajuk fenomena. Barisan pelakon adalah M. Nasir sebagai Azlan,Ramona Rahman sebagai Isabella Amy (Search) sebagai Suhaimi. 

Fenomena mengisahkan Isabella anak Mr. Howell, seorang Pengurus lombong besi di Bukit Besi, Terengganu, telah mengidapi satu penyakit yang aneh ketika berusia setahun. Pada suatu malam Isabella menangis tidak henti-henti hingga mendorong tukang kebun mereka Labib yang juga dukun cuba mengubatinya. Serta merta Isabella berhenti menangis dan segar seperti kanak-kanak sihat. Setelah 24 tahun berlalu, Isabella yang kini sarjana di Universiti London dalam bidang pengajian penyakit ganjil tersebut. Doktor-doktor di England berpendapat bahawa Isabella hanya berpeluang hidup selama enam bulan lagi. Isabella tidak dapat menerima hakikat itu dan berpendapat Labib mampu mengubati penyakitnya serta berazam kembali ke Bukit Besi untuk menemuinya.

      Aku tertarik dengan tema di dalam filem ini. Tema yang ingin ditonjolkan dalam filem fenomena ini ialah kritikan sosial terhadap sesebuah masyarakat  sendiri. Di dalam filem fenomena, sekelompok ahli agama kelihatan tidak menyukai Isabella hanya kerana terdapat perbezaan agama. Isu agama tidak sepatutnya dijadikan modal berpolitik pada ketika itu. Seterusnya, minat yang terlalu mendalam terhadap sesuatu perkara. Contohnya, Amy sangat menggemari muzik rock sehingga akhirnya berjaya mencapai impiannya dan dapat melakukan konsert. Amy bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan impiannya walaupun tidak disukai oleh sekelompok orang kampung. Selain itu, Minat Isabella terhadap adat melayu juga dapat dibuktikan apabila dia mendalami dan mempelajari mengenai Kesusateraan Melayu ketika di Universiti London dan juga sanggup pulang ke Malaysia.

     Tambahan dari itu, aku tertarik dengan isu yang ingin ditonjolkan oleh pengkarya dalam filem ini.Isu yang pertama adalah pergolakan dalam perbezaan budaya dan bangsa. Di dalam filem Fenomena jelas berlaku pergolakan diantara orang-orang agama dan orang yang bukan beragama islam(Isabella). Sewaktu, Isabella, serta Amy dan kumpulannya berada di Terengganu, ada sekelompok lelaki yang tidak sukakan mereka. Berkopiah, berserban, berbaju Melayu, dan bersarong, tak ubah seperti imej, ustaz-ustaz, atau pelajar pondok. Mereka tidak senang akan kehadiran Isabella di kampung itu kerana gadis dia gadis mat salleh, dan jelas mahu Wak Labib halau dia. Mereka juga sanggup menuduh Isabella sebagai pelaku maksiat  Bagi pendapat saya, apa yang ingin pengkarya tonjolkan adalah agama islam itu haruslah seiring dengan zaman. Kita tidak perlu melulu untuk membenci seseorang hanya kerana terdapat perbezaan. Isabella yang berniat baik telah di salah faham niatnya hanya kerana dia berbeza agama dan budaya. Pengkarya ingin menggambarkan pada ketika itu jika perbezaan agama seakan-akan larangan bagi golongan tersebut untuk bertolak ansur kerana risau akan pengaruh budaya barat. Pengkarya ingin menyatu padukan rakyat negara dan memecahkan sebuah tembok yang menjadi penghalang dalam melahirkan rakyat Malaysia yang harmoni.

        Selain itu, isu dalam mengangkat ilmu perubatan tradisional orang islam. Pengkarya telah menggabungkan unsur-unsur moden East-bertemu-Barat dan suntikan cerita yang dilengkapi lagu rakyat Melayu iaitu (lagu 'Ulik Mayang') yang menggambarkan sebagai salah satu keindahan Terengganu itu sendiri. Namun tidak dilupakan ilmu perubatan tradisionalitu sendiri sebagai focus utama.Sebagai orang islam, kita sentiasa merujuk kepada al-Quran jika berlaku sesuatu masalah. Wak Labib dapat mengubati Isabella ketika dia masih bayi dengan membaca beberapa ayat- ayat al-quran dan selawat. Pengkarya cuba menonjolkan kelebihan agama islam dalam merubat pelbagai penyakit berbanding teknologi canggih yang ada pada zaman ini. Sehingga kini juga, masyarakat lebih mempercayai dan bergantung kepada teknologi yang ada dan tidak ingin mendalami ilmu perubatan tradisional sendiri. 

           Sebagai kesimpulan, secara keseluruhan aku menyukai filem ini. Masih aku teringat saat pensyarah pertama kali membuka filem ini di dalam kelas, aku agak terkejut kerana ia merupakan filem yang sangat lama namun apakan daya setelah melihat filem ini aku akan jatuh cinta. Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. 



Filem FENOMENA (1990)

Fenomena (1990)  arahan Aziz M. Osman                       Disebabkan aku merupakan seorang bekas pelajar daripada Fakulti File...